25 April 2008

Petisyen mempertikaikan keputusan pilihanraya Rembau difailkan hari ini

Kuala Lumpur, 25 April- Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini bagi mempertikaikan keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu.
Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard diwakili oleh Shearn Delamore & Co mempertikaian keputusan pilihanraya di Rembau yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional yang juga menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Menurut Chegubard, perjalanan pilihanraya di Rembau berjalan dengan tidak adil dan tidak demokratik.
Diantara insiden yang berlaku pada hari pilihanraya di Rembau ialah pengundi mengundi lebih dari sekali, pengundi yang berdaftar tidak dibenarkan mengundi dan pengundi yang berdaftar tidak dapat mengundi kerana namanya telah digunakan.


Selain daripada itu petugas-petugas pilihanraya Pakatan Rakyat yang membantu Badrul Hisham dinafikan hak untuk mendapatkan borang 14 dikebanyakkan pusat mengundi.
Ketika dihubungi, Chegubard menyatakan bahawa petisyen tersebut difailkan bagi memenuhi janji beliau kepada rakyat Rembau untuk terus berjuang sehingga keadilan ditegakkan.


Kata beliau lagi, Khairy Jamaluddin sekarang sedang berada dalam ketakutan oleh kerana tahu kemenangannya disebabkan oleh penipuan dan penyalahgunaan jentera kerajaan secara berleluasa.

No comments: