30 April 2008

Pergolakan Umno umpama filem 'Ali Baba Bujang Lapok' - Md Sabu

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Pergolakan dalaman Umno yang kini semakin meruncing disifatkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sama seperti satu babak dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok'.

Semasa berceramah di Gedung Lalang Ampangan Seremban Isnin lalu, Mohamad Sabu menyatakan, Umno kini semakin parah malah ada ahlinya yang meminta agar pihak-pihak luar menghentam kepimpinan parti itu.

Ini kerana katanya, ahli sudah tidak berpuas hati dengan kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadikan menantunya sebagai penasihat kepada pentadbiran negara.

"Saya cukup pelik, masalah dalaman Umno kini semakin kronik.Ada ahli yang tak puas hati dengan kepimpinan tetapi tidak berani untuk mengkritik, akhirnya menjemput saya untuk berceramah menghentam kepimpinan mereka

"Ini macam kisah dalam satu babak filem Ali Baba Bujang Lapok yang mana seorang orang kaya berkata kepada kepala penyamun "Tolong rompak sama saya sebab saya tak mahu bayar hutang"," kata Mohamad Sabu sambil disambut dengan sorakan oleh kira-kira 3000 hadirin.

Menyambung ceramahnya, Mohamad Sabu berkata, kini orang dalam Umno sendiri sudah tidak percaya dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan ramai yang meminta peralihan kuasa dilakukan segera.

Hal ini katanya menunjukkan Umno semakin lemah dan kelemahan itu turut didedahkan oleh ahli dan kepimpinannya sendiri yangt sudah tidak sehaluan.

Apatah lagi kepimpinan Umno kini dilanda dengan masalah perebutan jawatan hingga ada yang sanggup menghentam dan mendedahkan keburukan antara satu sama lain.

"Yang lagi memeritkan Umno, bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi orang yang paling lantang mengkritik Abdullah hingga beberapa pendedahan dibuat menyebabkan ahli Umno dan rakyat hilang keyakinan kepada Abdullah," ujarnya.

Hasilnya, pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, pengundi memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat hingga lima negeri kini berada di tangan pakatan, kata Mohamad Sabu.

Beliau yakin, jika Pakatan Rakyat mentadbir negeri dengan baik dan melunaskan beberapa janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum, tidak mustahil pilihan raya akan datang Pakatan Rakyat boleh memerintah Malaysia.

No comments: