27 April 2008

Jambatan Kedua tetap diteruskan

Kerajaan tidak pernah berhasrat membatalkan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang sebaliknya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai projek tersebut serta cara terbaik mengurangkan kos.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kenaikan harga simen dan besi yang berlaku seluruh dunia telah menyebabkan kos pembinaan jambatan meningkat daripada RM3.6 bilion kepada RM4.3 bilion.

''Jadi sekarang kita sedang melihat semula reka bentuk jambatan tersebut dan perkara lain bagi mencari jalan untuk mengurangkan sedikit kos dan bukannya menilai untuk menghentikannya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyatakan demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan beberapa pemimpin masyarakat di Bagan Ajam di sini hari ini.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Datuk Jahara Hamid.

Jelas Nor Mohamed, terdapat beberapa projek lain di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) selain pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang menerima kesan akibat kenaikan harga tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara terperinci projek-projek yang terlibat.

Bagaimanapun, kata Nor Mohamed, sehingga kini, masih belum ada kontraktor yang terlibat dalam projek-projek kerajaan Persekutuan menarik diri atau memulangkan kontrak ekoran kenaikan kos tersebut.

Pada 22 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang akan mengalami kelewatan selama sembilan bulan ekoran timbul beberapa isu seperti pengambilan tanah yang sesuai, reka bentuk terbaik dan peningkatan kos pembinaan.

Jambatan Kedua Pulau Pinang akan menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau dan dijangka siap pada 2011.

Tambah Nor Mohamed, dalam keadaan negara turut menerima kesan akibat kegawatan ekonomi yang berlaku di beberapa negara di Eropah, rakyat diminta berganding bahu dalam membendung kenaikan harga.

Dipetik dari Utusan Meloya

No comments: