22 September 2008
Perihal ISA, Tindakan Parti, Tindakan Kerajaan dan Kenyataan Bodoh Hamid Albar
Dan untuk pertama kalinya saya sangsi, apakah penahanan ISA terbaru ini adalah tindakan Kerajaan, atau tindakan Kerajaan Barisan Nasional, atau tindakan Barisan Nasional? Kerana kelihatannya seolah-olah yang bersetuju dengan tindakan ini hanyalah Umno sahaja! Banyak parti lain yang menjadi komponen Barisan Nasional yang memerintah telah mula bersuara, MCA membantah, Gerakan membantah, PPP juga membantah. Maka timbul persoalan, apakah Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang masih didokong penuh oleh semua parti komponennya, atau sudah menjadi milik Umno yang syok sendiri?
Kalau dulu Umno menggunakan Zainuddin Maidin sebagai pahlawannya, kali ini Hamid Albar pula yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri mewarisi legasi tersebut. Berdasarkan latar belakang beliau, saya mengharapkan sedikit kecerdikan dari jawapan-jawapan Hamid Albar dalam sidang medianya, tetapi apa yang saya temui hanyalah kedunguan dan kebodohan.
Kebodohan pertama, kata Hamid Albar, tindakan ini bukan arahannya selaku Menteri Dalam Negeri, tetapi sepenuhnya adalah tindakan pihak polis. Soalnya beliau bercakap dengan khalayak mana? Jika saya ada dalam sidang media itu, nescaya sudah tentu saya akan tergelak guling-guling, mengapa? Mudah, arahan penahanan mengikut ISA memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri, maka penahanan mengikut ISA adalah tindakan kerajaan.
Kebodohan kedua, jawapan Hamid Albar bila ditanya mengapa Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang mengeluarkan kenyataan menghasut mengatakan kaum China di Malaysia sebagai pendatang tidak ditahan di bawah ISA, sedangkan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang melaporkan ucapannya itu di dalam akhbarnya pula yang ditahan, Hamid Albar menjawab dengan keras bahawa Umno telah mengambil tindakan terhadap Ahmad Ismail. Inilah masalah mentaliti Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno. Sedarkah Hamid Albar yang beliau ketika itu di dalam sidang media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri, bukan pemimpin Umno! Dan soalan yang diajukan kepada beliau adalah tentang tindakan kerajaan terhadap Ahmad Ismail, bukan tindakan Umno! Seperti tindakan kerajaan terhadap Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng. Tidak timbul langsung soal laporan polis terhadap Ahmad Ismail, saya rasa ada beratus laporan polis terhadap pimpinan Umno, tolong kirakan pada saya berapa peratuskah yang sudah berjaya dibuat pendakwaan? Atau mengapa tidak sahaja Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng disiasat di bawah akta yang sama yang digunakan untuk Ahmad Ismail, asalkan bukan ISA, Ordinan Darurat atau yang seumpamanya.
Ada persamaan dan perbezaan di sini, Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily melaporkan ucapan Ahmad Ismail yang berbau perkauman; yang samanya Khir Toyo melaporkan Teresa Kok terlibat dengan petisyen meminta diperlahankan laungan azan di sebuah masjid di Selangor. Perbezaannya Ahmad Ismail mengakui ucapannya itu, bahkan mempertahankannya, sedangkan Teresa Kok pula menafikan penglibatannya dan ini disahkan oleh ahli jawatankuasa masjid itu sendiri serta disokong oleh laporan polis balas terhadap Khir Toyo yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.
Mari kita lihat status pelapor dahulu, iaitu Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily dan Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor. Kalau ikut logik Hamid Albar, pelapor ucapan atau perbuatan orang lain boleh mengganggu ketenteraman awam, seperti ditunjukkan melalui penahanan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, maka Khir Toyo juga berada dalam darjah yang sama dengan wartawan kanan Sin Chew Daily tersebut.
Orang yang dilaporkan pula iaitu Ahmad Ismail (yang mengaku akan ucapannya) masih menjadi rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka, sedangkan Teresa Kok (yang menafikan dakwaan terhadapnya, dengan disahkan oleh jawatankuasa masjid dan disokong oleh Ahli Parlimen PAS Kota Raja) pula sampai sekarang tidak ketahuan di mana duduknya, terpenjara di bawah ISA. Perbandingan inilah yang ingin ditanya wartawan kepada Hamid Albar, yang ingin diketahui oleh rakyat semua.
Sesungguhnya saya menulis ini dengan penegasan bahawa saya menentang penggunaan ISA tidak kira untuk mana-mana kumpulan atau mana-mana pemimpin politik. Saya menulis ini juga bukan kerana dengkikan pemimpin Umno yang tidak ditahan sama, tetapi sebagai hujah pembuktian bahawa inilah bahagian sumbing dan canggung setiap kali pimpinan Umno mahu bercakap soal public order.
17 September 2008
Antara Kem Kamunting dan Guantanamo Bay
Sejarah memutarkan skripnya dengan lakonan kaum-kaum yang bersilih ganti. Tetapi dek kerana segalanya datang dari akal, hati dan nafsu makhluk yang sama bernama manusia, perbezaan zaman tidak membezakan kelakuan.
Hati saya terasa pedih semasa mengulas kisah Yusuf ‘alayhi al-Salam, tatkala tiba ke tafsiran ayat ke-35.
Kemudian timbullah fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. [Yusuf 12: 35] Biar pun telah nyata segala pembuktian, bahawa segala kejadian berpunca dari isteri al-’Aziz dan wanita bangsawan yang bersama, Yusuf jua yang akhirnya dihumban ke penjara. Bahkan Yusuf lebih merelakan dirinya untuk dipenjara bersama kesucian prinsip berbanding hidup bebas tetapi memikul kekotoran nafsu wanita-wanita kelas tinggi itu.
Segalanya ditunjukkan Allah… suami yang menjadi Menteri Utama, bacul dan dayus hingga tiada upaya mengawal kelakuan isteri. Nafsunya pula disokong oleh ‘datin-datin’ yang ber’makar’ untuk menundukkan Yusuf kepada kehendak mereka… segalanya adalah skrip yang sama. Kejelekan golongan bangsawan di sepanjang zaman, hingga akhirnya Yusuf dan figura seperti baginda itu jua yang menelan padah.
Bukanlah penjara itu kemuncak segala derita. Sakitnya hukuman itu ialah pada dua realiti yang ada:
- Yusuf tidak bersalah
- Pemenjaraannya tanpa had masa.
Dipenjara tanpa kesalahan adalah suatu kezaliman. Ia jadi lebih zalim apabila tiada perbicaraan sempurna yang dijalankan. Pensabitan hanya atas budi bicara manusia pemegang cemeti lagak al-’Aziz dalam kisah Yusuf. Dan segala kezaliman itu disempurnakan dengan hukuman tanpa had masa.
Tatkala Allah SWT mengungkapkan di dalam ayat itu, bahawa hukuman tahanan ke atas Yusuf adalah ‘hingga ke suatu masa’, saya tidak dapat lari dari tersungkur di hadapan segala keperitan yang ditanggung oleh tahanan ISA di negara kita. Yusuf dan mereka yang terkurung atas nama ISA, bukan dipenjara tetapi mereka ditahan. Ia bukan hukuman, tetapi suatu bentuk penyeksaan.
Masakan tidak?
Ditahan tanpa bicara.
Ditahan tanpa had masa.
Biar pun pemenjaraan berlangsung dengan ketetapan 30 tahun, sekurang-kurangnya 30 tahun itu boleh dihitung. Setiap satu hari berlalu, memendekkan tempoh 30 tahun yang telah ditentu. Tetapi tatkala penahanan berlaku tanpa had masa, ia membunuh segala harapan.
Tanpa harapan tiada kekuatan.
Tanpa kekuatan, manusia mati sebelum mati.
Perasaan saya yang sungguh berkecamuk tatkala menelaah Surah Yusuf ditimpa lagi oleh rasa sedih, marah, panas dan membara tatkala menatap pemergian al-marhumah Aina Mardiah Shahrial yang kembali ke Rahmatullah semalam (3 Julai 2008). Anak gadis ini koma di Hospital Kajang selepas terjatuh di rumahnya.
Sungguh memilukan, Aina Mardiah sudah sejak sekian lama tidak menatap wajah ayahnya, Shahrial Sirin yang ditahan di Kem Kamunting sejak 7 tahun lalu! Beliau kembali kepada Allah dalam kerinduan. Membesar tanpa ayah, yang ditahan, bukan dipenjarakan.
Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) untuk mendapatkan pelepasan Shahrial Sirin berdepan dengan birokrasi Napoleonik yang sungguh luar biasa. Shahrial akhirnya tiba di rumah pada jam 9 malam dan hanya dibenarkan oleh pihak polis bersama jenazah anaknya serta ahli keluarga yang lain selama satu jam!
Sesungguhnya setiap titis air mata yang mengiringi pemergian adik Aina Mardiah Shahrial, adalah minyak yang menyalakan kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap kezaliman yang sudah menjadi pakaian al-’Aziz dan regimnya.
Demi Allah, saya tidak dapat melihat di manakah bezanya antara regim yang mempertahankan kem Guantanamo Bay dan kem ISA Kamunting di negara kita. Jika al-’Aziz dan empayar Mesir serta sekalian yang mengikut jejak kezaliman mereka tumbang di dalam sejarah, mengapa harus kezaliman hari ini, rasa aman dan terkecuali dari hukuman-Nya?
Saya tidak berpendapat bahawa kezaliman ini terbit dari apa-apa ideologi yang menjadi pegangan kuasa yang memerintah. Sama ada kezaliman itu datang dari kelakuan seorang yang ‘muslim’ atau pun ‘kristian’, hakikatnya ia hanyalah kehendak hawa nafsu manusia durjana yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival dan kelangsungan kuasa mereka.
Dari Abi Dzar al-Ghifari –semoga Allah meredhainya- dari Nabi saw., menyampaikan apa yang diterimanya dari Rabbnya, bersabda, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.” (H.R. Muslim)Semoga kematian yang menimpa adik Aina Mardiah menjadi kerehatan buat diri al-marhumah daripada kepenatan dunianya yang penuh kesedihan dan penindasan itu.
4 perkara yang menjadi kerisauan Anwar!!!
1) That Barisan does not hinder or prevent the MPs from acting in accordance with their conscience, constitutional rights and independent judgement; (Kerajaan BN tidak menafikan atau menghalang MP untuk bertindak mengikut budibicara mereka, hak berpelembagaan dan pertimbangan bebas);
2) That the Barisan government should not invoke the Internal Security Act to detain the MPs or any other current Pakatan MPs;(Kerajaan BN tidak menggunakan ISA untuk menahan MP atau mana-mana MP Pakatan Rakyat);
3) That the Barisan government does not invoke emergency laws or police powers or suspend the Constitution or dissolve Parliament; and (Kerajaan BN tidak menggunakan undang-undang darurat atau kuasa-kuasa Polis atau menggantung Perlembagaan atau membubarkan Parlimen; dan)
4) That the Barisan government shall not impose roadblocks or impede MPs from going to Parliament or any institution of government.(Kerajaan Barisan tidak akan mengadakan sekatan jalanraya atau menghalang MP dari menghadiri Parlimen atau mana-mana institusi kerajaan).
Keempat-empat batu penghalang ini perlu dirobohkan untuk memastikan peralihan kuasa secara aman dan teratur. Anda nilai lah sendiri bagaimana DSAI telah mempertimbangkan bermacam-macam faktor demi menjamin ketenteraman negara. Bukan mudah untuk bertukar pemerintahan. Orang sanggup berbunuh-bunuhan, tetapi Anuar memilih jalan keamanan.
Bagi mereka yang asyik mengutuk dan mengeji DSAI, fikirkan lah...Jika Anda sebagai DSAI, bagaimana anda bertindak memastikan keempat-empat faktur ini diatasi??"