24 April 2008

Penduduk Kg Sungai Batu merintih tidak mampu duduki rumah baru

BALIK PULAU, 23 April (Hrkh) - Sebahagian penduduk Kampung Sungai Batu, Balik Pulau terus berendam air mata kerana tidak dapat berpindah ke rumah flat di Taman Vanila ekoran ketiadaan wang berbuat demikian terutamanya kos penggangkutan dan kegunaan persiapan menduduki kediaman baru. -->-->
Rata-rata mereka mengharapkan pampasan setelah rumah mereka dirobohkan oleh Pemaju Perumahan Guan Bee Hup Kee Sdn Bhd untuk saraan hidup bila ditempatkan di kediaman baru lima tingkat itu kelak.
Harakahdaily dimaklumkan, perkampungan yang dirobohkan pada 31 ogos 2006 iaitu seminggu sebelum ketibaan Aidilfitri kini dibangunkan perumahan bertaraf mewah.
Mereka ditempatkan sementara di rumah panjang sebelum pemaju menyiapkan rumah flat lima tingkat.
Bahkan, ramai yang mendakwa tertipu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Kumbar, Syed Amirudden Syed Ahmad merangkap Exco Perumahan Negeri sewaktu era pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana bersuara bagi pihak pemaju setiap kali pertemuan diadakan.
Bukan itu sahaja, mereka juga kecewa dengan sikap Pengerusi dan Setiausaha Badan Bertindak yang dilantik kerana bertindak senada dengan pemaju dan akhirnya lakonan mereka terbukti apabila mereka mendapat keistimewaan.
Salah seorang penduduk, Siti Aminah Salleh 47 berpendapat, sukar untuk berpindah ke diaman baru sebab tiada wang samada untuk kos perpindahan, penyelenggaraan atau membayar sewaan nanti.
Jika pemaju memberikan pampasan beliau percaya isu ini tidak timbul sebaliknya berjalan lancar kerana penduduk bukan menentang pembangunan. "Kami hanya mahukan pampasan.
Barulah semua boleh hidup selesa dan kami pun dapat merasai nikmat pembangunan," tegasnya kecewa.
Sekarang ini hidupnya terumbang ambing kerana hilang mata pencarian apabila gerainya diroboh tanpa sebarang pampasan.
Rakannya, Jamaliah Ismail 55 pula kesal bekas Adun Teluk Kumbar terus lepas tangan bilamana kalah dalam pilihanraya umum lalu.
Sepatutnya, jika beliau mempunyai prinsip perjuangan yang asli beliau harus membela penduduk sehingga berjaya.
"Bekas Adun tidak nampak muka langsung bila kalah dalam pilihanraya umum lepas. Inikah yang dinamakan wakil rakyat. Walhal projek tersebut di bawah pemerhatianya sebelum ini," jelasnya yang juga kehilangan punca pendapatan bila gerainya dirobohkan pemaju.
Rubiah Sudin 50, kecewa tidak dibenarkan mencabut undi untuk mendiami flat Taman Vanilla itu.
Akibatnya, beliau sekeluarga ditempatkan di tingkat lima dan tentunya mendatangkan masalah pada warga tua sepertinya memandangkan ketiadaan lif.
"Saya mewakili warga tua merasakan tidak adil kerana orang yang mengampu bersama pengerusi dan setiausaha memperolehi rumah paling bawah atau tingkat satu. Kami yang tua terpaksa mendaki tangga setiap hari-hari, " ujar beliau yang juga seorang ibu tunggal mempunyai lapan orang anak.
Sementara itu, Adun Teluk Kumbar, Abdul Malek Abul Kasim merangkap Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang ketika perjumpaan dengan penduduk Sungai Batu di pejabatnya semalam menegaskan, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hanya mampu menyelesaikan permasalah terkini bukan lagi bertanggungjawab menghuraikan masalah lama kerana ia telah di selewengkan oleh Umno.
"Itulah natijahnya mereka mempercayai Umno dan BN dalam pilihanraya umum terdahulu.
Kesannya penduduk sendiri sengsara tertipu dengan janji manis untuk kepentingan politik mereka, " ujar beliau.
Namun begitu katanya, beliau menerusi Kerajaan Negeri cuba membantu sebaik mungkin bagi memastikan mereka dapat gantian rumah yang dijanjikan.

Dipetik dari Harakahdaily.net

No comments: