21 October 2008

Menyingkap penubuhan PKMM demi menuntut kemerdekaan penuh dari British

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Negeri Perak. Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Matlamat utama penubuhan PKMM ialah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. PKMM juga berusaha mengatasi masalah orang Melayu di segi pelajaran, sosial dan ekonomi serta kebebasan mencetak dan bersuara.

Pada 30 November 1945, PKMM telah mengeluarkan lapan resolusi yang dianggap oleh pihak kerajaan sebagai diinspirasikan oleh rancangan 'Sembilan Perkara' Parti Komunis Malaya.

PKMM pada mulanya tidak condong kepada komunisme. Tetapi apabila Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presidennya yang pertama pada bulan Oktober 1946, parti ini dipengaruhi oleh komunis.

PKMM diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam. Kedua-duanya memainkan perana dalam pucuk pimpinan awal parti itu:

Yang Dipertua: Mokhtaruddin Lasso
Naib Yang Dipertua - Dr. Burhanuddin Helmi
Setiausaha - Dahari Ali
Bendahari - Arshad Ashaari
Ahli Jawatankuasa - Ahmad Boestamam

Sebulan selepas kelahirannya, PKMM telah menubuhkan beberapa cawangan di beberapa buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Melaka dan Singapura. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.

PKMM mempunyai dua cawangan pemuda dan pemudi iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Bagaimanapun Ahmad Boestamam telah dapat merenggangkan API dari PKMM di bawah Mokhtaruddin Lasso dan pengaruh komunisme serta mengeluarkan manifesto yang berasingan dari PKMM.

Bagaimanapun beberapa bulan kemudian apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, Dr Burhanuddin Helmi telah mengambil alih pucuk pimpinan sebagai presidennya yang kedua. Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad sebagai presidennya yang ketiga. Dengan pertukaran pucuk-pucuk pimpinan itu PKMM tidak lagi condong kepada komunisme sebaliknya bersifat nasionalisme.

Dr Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan Kesatuan Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utama PKMM. Pada dasarnya perjuangan PKMM adalah didorong oleh keazaman untuk mendapatkan kemerdekaan penuh dari Britain. PKMM lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Bagaimanapun pengaruh PKMM tidak kekal lama. Antara sebab utamanya ialah kemunculan UMNO, parti yang lebih diyakini oleh orang-orang Melayu untuk memperjuangkan nasib mereka. Sebab-sebab lain ialah kegiatan-kegiatan PKMM yang anti-UMNO dan anti-penjajah sangat dicurigai oleh Kerajaan. PKMM juga berusaha menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) iaitu gabungan parti-parti politik radikal Melayu dan kemudian bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang bertujuan menentang Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Perjuangan PKMM dianggap oleh Inggeris sebagai 'berbau' komunis dan dengan itu beberapa orang pemimpinnya telah ditangkap serta dipenjarakan. Akhirnya pada 18 Jun 1948[4], PKMM (dan beberapa parti lain) telah diharamkan apabila darurat diisytiharkan oleh pihak berkuasa British dengan persetujuan Yang Dipertua UMNO, Dato' Onn Jaafar.

Masih aku teringat kata-kata ayah aku (Pak Cik Ban) yang mana ianya berbunyi begini:-

"Kita mendapat Kemerdekaan daripada British dengan menerusi TINTA, tetapi kita sebenarnya mengharapkan Kemerdekaan penuh dari British melalui SENJATA"

Mungkinkah jika kita mendapat kemerdekaan melalui senjata, Malaysia akan bebas sepenuhnya dari anasir-anasir penjajah seperti yang ada sekarang?Adakah sekarang ini kita mendapat Kemerdekaan penuh dari British?Perlukah apa yang diajar oleh guru-guru kita tentang sejarah Tanah Melayu ditelan bulat-bulat?Kenapakah pejuang-pejuang Nasionalis seperti Ahmad Boestamam, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Dr. Burhanudin, Abdullah CD dan yang seangkatan dengannya dinafikan dan dilenyapkan jasa-jasa pejuangan mereka didalam sejarah menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu?Adilkah pejuang-pejuang bangsa ini dituduh sebagai pengkhianat?

British memilih UMNO untuk diberikan kemerdekaan kerana UMNO sahaja yang boleh diharapkan oleh British untuk menjaga kepentingan-kepentingan mereka didalam Tanah Melayu pada waktu itu.Untuk pengetahuan kita bersama Tanah Melayu adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil dan sumber aslinya.Demi kebobrokan mereka, demi ketamakan mereka, mana mungkin mereka melepaskan Tanah Melayu kepada yang lain selain UMNO.Kerana UMNO pada waktu itu kebanyakkannya dianggotai oleh anak-anak bangsawan, yang mana mereka semua ini bagai kerbau yang dicucuk hidung.

Apapun sejarah Malaysia perlu di kaji semula untuk anak-anak kita dimasa depan.Janganlah disorokkan fakta-fakta yang benar tentang sejarah kita.

No comments: