30 May 2008

Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis

Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.

Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.

BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?

Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.

Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.

Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.

Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.

Kunjungan Ezam ke Harakah

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.

Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.

Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.

Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.

Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.

Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang giat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.

Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.

Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.

Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Benarkah Ezam dibeli?

Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.

"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.

Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."

Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.

Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.

Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.

Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.

Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.

Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.

Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.

Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.

Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.

Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.

Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.

Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.

Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?

Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.

Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.

Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.

Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.

Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.

Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.

Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.

Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.

Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.

Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.

Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.

Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.

Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.

Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."

Apa pun, well...good luck saudara Ezam!

27 May 2008

Pakatan Rakyat gesa boikot Utusan dan Mingguan Malaysia berkuatkuasa hari ini

Pakatan Rakyat menggesa pembaca dan pengiklan supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya terus menerus menyiarkan laporan yang cuba merosakkan Pakatan tersebut.

Gesaan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Ketika membaca kenyataan tersebut di bangunan Parlimen pagi ini, Wan Azizah berkata, kini nampaknya sudah ada 'pembukaan kecil' dalam laporan media perdana terhadap berita-berita mengenai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu lagi, media perdana masih bersikap tidak adil dan masih menyiarkan lebih banyak laporan untuk BN berbanding dengan laporan mengenai Pakatan Rakyat.

Namun begitu, tegasnya, laporan mengenai Pakatan Rakyat mempunyai unsur-unsur keterlaluan dan bersifat untuk merosakkan parti-parti dan para pemimpin Pakatan tersebut.

Kenyataan itu mendakwa, yang paling teruk ialah akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya masih menggunakan cara tidak adil untuk mengkritik dan merosakkan Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin utamanya, seolah-olah kempen pilihanraya masih berjalan.

Kenyataan itu juga mendakwa, Utusan cuba mengapi-apikan sentiman perkauman yang sempit, terutama membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya.

Oleh sebab sikap yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab itu, maka Pakatan menggesa semua orang - mulai hari ini - memboikot Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Dalam kenyataan itu, mereka menggesa para pengiklan yang prihatin supaya segera berhenti daripada mengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan.

Kenyataan Karpal

Dalam satu kenyataan berhubung isu yang membabitkan pengerusi DAP, Karpal Singh, ketiga-tiga pemimpin berkenaan bersependapat bahawa menteri besar mempunyai hak untuk menukar kakitangan kerajaan tetapi pada masa yang sama, mengiktiraf peranan Sultan dalam isu-isu mengenai Islam.

"Pakatan berpendapat, semua pihak patut menerima bahawa menteri besar mempunyai kuasa untuk menukar pegawai-pegawai dalam negerinya," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kata mereka, dalam isu jawatan ketua agama negeri, Sultan sebagai pemimpin agama negeri, patut diminta pandangan terlebih dahulu.

Dalam kenyataan itu lagi, Pakatan menegaskan bahawa kenyataan Karpal adalah merupakan pendapat peribadi beliau yang berdasarkan kepada undang-undang.

Katanya, Pakatan menerima surat penjelasan Karpal bahawa beliau tidak berniat untuk menghina Sultan.

Sehubungan itu, mereka berharap semua pihak dapat menerima penjelasan tersebut dan berhenti daripada mengapi-apikan isu itu bagi mengelak ketidakstabilan dalam hubungan kaum.

Dalam kenyataan yang sama, Pakatan Rakyat membidas media yang dikuasai oleh BN dan pemimpin Umno kerana mempolitikkan isu tersebut.

P. Pinang mahu haramkan Islam hadhari

Pulau Pinang akan mengikut jejak Selangor yang melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin bersetuju dengan langkah yang diambil oleh exco hal-ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali seperti diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.Langkah Pulau Pinang ini tidak bermotifkan politik, tambah Mohammad Fairus, sebaliknya untuk "mengembalikan ajaran Islam yang sebenar."

Beliau, seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata konsep Islam hadhari menyalahi prinsip sebenar Islam.Dr Hassan Ali berkata, semua masjid dan surau diarah dilarang mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal perdana menteri sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup. "Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," katanya.

26 May 2008

Keluar Umno: perangkap Mahathir untuk jerat Abdullah dan Anwar?

Selepas Tun Mahathir meninggalkan Umno, Tun Musa Hitam kata duri dalam Umno dah tercabut, ertinya mahathir selama ini menjadi duri bagi Umno rupanya.

Tiba-tiba Ezam Mohd Noor juara Gerak pula dikatakan akan masuk Umno. Dulu Ezam pernah dakwa akan masuk Umno jika tindakan itu dapat mengeluarkan Dato Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Ekoran itu Ezam dikatakan berbalah dengan Azman Ali lalu Ezam keluar KeAdilan. Ezam tidak menyertai PAS mungkin kerana PAS rakan KeAdilan, tidak manis bagi PAS menerima Ezam bekas pemimpin KeAdilan.

Ezam tiada pilihan melainkan mempopularkan Gerak bagi membenteras rasuah, Ezam menjelajah ke seluruh negara membicarakan tentang rasuah membuat laporan polis dan sebagainya.

Bagaimanapun keupayaaan Ezam tentulah terhad, tidak sehebat sewaktu dalam KeAdilan yang mempunyai stuktur lebih kukuh. Di Gerak hanya dia dan beberapa orang rakan karibnya sahaja.
Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Ezam tidak bertanding, tiada kerusi untuknya sama ada dari PAS, DAP atau lain-lain. Ezam tentunya sunyi, Ezam melihat rakan-rakannya telah menjadi Wakil Rakyat.

Azmin, Saifuddin sekadar beberapa nama semuanya telah menjadi YB, kenapalah tiada parti yang beri kerusi untuknya, Ibrahim Ali pun diberi kerusi.

Ezam tentu berasa cemburu kedudukanya semakin terpencil sedangkan rakan-rakannya gegak gempita meraikan kemenangan, dia sunyi Lalu masa terbaik untuk menyertai Umno ialah apabila Umno berada dalam keadaan kelam kabut, masa terbaik tiba jua apabila pemimpin Agong Umno meninggalkan parti.

Sekalian Umno sedih dengan pemergian Tun, ramailah ahli Umno yang dukacita sedih bimbang ajal Umno sudah tiba. Lalu Ezam datang mengisytiharkan diri menyertai Umno, walaupun Ezam tidak setanding Adi jagat itu, tetapi sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahukan Umno dan Orang itu ialah Ezam Mohd Noor tokoh memerangi rasuah!.

Kemungkinan Ezam menyertai Umno mungkin disebabkan bapa rasuah (persepsi Ezam) telah meninggalkan Umno, ertinya umno sudah bersih dari rasuah! Jika tidak masakan Ezam boleh menyertai parti kaki rasuah yang didakwanya sebelum ini. Kemungkinan kedua ialah Ezam merupakan mengikut setia Dato' Seri Anwar Ibrahim, ramai yang percaya walaupun Ezam meninggalkan KeAdilan, tetapi hubunganya dengan Anwar tidak pernah putus, siapakah jika bukan Ezam yang sanggup berbuat apa saja untuk membebaskan Anwar dahulu.
Ezam pernah berkata dia sanggup menyertai Umno andainya itu syarat untuk membolehkan Anwar bebas, siapa tau Anwar bebas dengan perjanjian sulit Ezam!.

Jika benar apa yang berlaku ini, senario politik negara bakal berubah dan Anwar semakin hampir untuk mendapatkan semula haknya sebagai perdana menteri yang terlepas kepada Abdullah Badawi.

Dan Ezam adalah bidak percaturan Anwar yang mengorbankan diri semata-mata untuk membolehkan Anwar kembali ke dalam Umno semula!. Ezam sedang merintis jalan ke Putrajaya.

Tun Mahathir sudah menghidu terlebih dahulu percaturan politik Abdullah-Anwar ini. Justeru beliau tidak boleh bertahan lebih lama untuk melepaskan bomnya sebagai ancaman kepada Abdullah supaya segera melepaskan jawatannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Sedangkan Najib bagi Abdullah bukanlah orang sesuai untuk menjadi penggantinya kerana mempunyai pelbagai isu yang diperkatakan rakyat.

Perlu diingat Najib gagal dalam ujian sebagai pengarah pilihan raya BN dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu. Najib bercakap berapi-api di televisyen untuk menyapu bersih Kelantan, rupa-rupanya bukan PAS yang disapunya, BN yang nyaris disapu bersih oleh PAS di Kelantan.

Najib hanya berjaya meningkatkan majoriti undi dilubuk sendiri iaitu di Pekan dan Rompin sedangkan di Pahang keseluruhannya, enam kerusi BN dirampas Pakatan Rakyat, dua PAS, dua DAP dan dua Perlimen oleh KeAdilan.

Adalah jelas, Najib tidak sehebat Anwar yang menguasai timur dan barat. Anwar ada imej Islam, Anwar ada imej korporat, Anwar ada segala ramuan untuk memimpin Malaysia ia dihormati PAS dan DAP dari kalangan pembangkang.

Siapalah Najib berbanding Anwar, hanya Mahathir dan pemimpin Umno Pahang sahaja yang mati-matian mahu Najib menjadi perdana menteri tetapi malangnya satu demi satu tokoh 'kumpulan penyokong' pro Najib tersungkur. Lihat saja Abdul Razak Baginda dan kini Jamaluddin Jarjis (JJ) sudah dilumpuhkan dan dijatuhkan kerana wanita jelita!.

Malang sungguh. Jarjis yang menang besar di Rompin kini diberitakan sudah jarang pulang menjenguk kawasan, tiba-tiba Abdullah mengambil pula tokoh yang tidak dibantu JJ, Dato' Maznah Mazlan menjadi Timbalan Menteri.

Ia suatu penghinaan lagi kepada JJ sekali gus memalukan Najib. Dalam banyak�banyak ahli parlimen dari Pahang Maznah seorang Adun pula diambil Abdullah, ia sungguh memalukan sekalian ahli parlimen dari Pahang yang ramai itu.

Untuk apa Abdullah berbuat begitu jika tidak kerana untuk memalukan Najib!. Ini kerana semua ahli parlimen dari Pahang itu semua adalah orang Najib, Abdullah mahukan mereka berada di dalam barisan menterinya. Bagi Mahathir, dia sudah nampak bahaya bakal menimpanya jika Najib gagal menjadi perdana menteri, lebih lagi dia tidak gembira jika Anwar menjadi pardana menteri.

Justeru sebagai peluru terakhirnya, beliau keluar dari Umno dan mengajak ahli-ahli parlimen mengikuti jejaknya kemudian. Tindakan Mahathir itu tentunya untuk mengacau Abdullah dan Anwar.

Mahathir menggunakan serampang dua mata dalam tindakanya kali ini, bagi Abdullah perlu diganggu dan Anwar perlu 'dibunuh' untuk kali keduanya. Percubaan membunuh Anwar dahulu telah digagalkan Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin yang bertandang ke rumah Anwar kerana menghantar dokumen perjalanan Anwar untuk keluar negara sebaik dibebaskan dari penjara.

Fakta ini tidak wajar dilupakan sesiapa, Khairy sememangnya mempunyai jasa kepada Anwar. Bayangkan apa terjadi jika ada ahli parlimen BN meninggalkan BN menuruti jejak Mahathir, katanya sudah 30 orang ahli parlimen menyertai kumpulan Mahathir, Ketika itu komposisi kerusi parlimen ialah BN (110) Pakatan Rakyat (82) kumpulan Mahathir (30).

Ini bermakna kumpulan Mahathir mempunyai kuasa tawar menawar yang kuat. Mereka diperlukan oleh BN dan Pakatan Rakyat untuk berkuasa. Jika BN mahu meneruskan penggal pemerintahan, mereka sudah tiada kekuatan kerana majoriti parlimen berada ditangan Pakatan Rakyat dan kumpulan Pro Mahathir dengan julah 112 berbading 110!.

Nah, inilah percaturan starategi Mahathir yang hebat untuk mengajar Abdullah dan Anwar sekali gus. Jika ini perlaku maka tidak syak lagi akan bermulalah era baru dalam politik negara.
Abdullah tidak mempunyai pilihan melainkan dua, iaitu beliau akan membubarkan parlimen atau menggunakan kuasa tradisional Umno /BN iaitu ISA!

21 May 2008

Karpal Singh VS Sultan Perak

Karpal Singh mungkin betul dan mungkin salah, tetapi banyak betul dari salah. Soal yang dibangkitkan kepada Raja Perak ialah soal konvensyen Raja Berperlembagaan.

Kalau mengikut kajian Mohd Ashraf Ibrahim dari UKM-Universiti Kebangsaan Malaysia dengan nyata bahawa gagasan mengujudkan Raja Berperlembagaan bukan idea UMNO atau orang Melayu sebaliknya pandangan yang dibuat dalam memorandum Malayan Union oleh Persatuan China Seberang Laut yang diketuai oleh Tan Cheng Lock yang kemudiannya menubuhkan MCA-Malayan Chinese Association.

Orang Cina yang tahu bahawa sebenarnya untuk masa satu kurun lamnya semenjak Inggeris menjadi kolonial yang di undang oleh Raja Melayu, yang sebenarnya yang memerintah ialah Residen dan Penasihat British. Jika asal usul Raja Berperlembagaan yang dicadangkan selepas gagasan Malayan Union yang tidak berjaya diwujudkan oleh British, kemudian bertukar dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggerisnya Federation of Malaya, konsep yang asalnya Raja Berperlembagaan sebenarnya ialah Raja menjadi penasihat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat atau dalam sistem demokrasi yang bakal di amalkan dalam Malaya yang merdeka.

Maka di sini, jelaslah bahawa keadaan hari ini sudah menjadi terbalik yang kononnya Raja terpaksa bertindak mengikut nasihat kerana adanya perkataan nasihat khasnya dalam tugas yang di Pertuan Agong. Tetapi sebenarnya nasihat Raja hendak di ambil dalam semua keputusan dan bukannya Raja kena menerima nasihat Menteri Besar atau Perdana Menteri, itu yang sebenarnya semangat Raja-raja Melayu menandatangani persetujuan untuk menjadi persekutuan.

Kenapa nasihat Raja kena diminta dalam semua keputusan orang politik yang memegang jawatan Menteri besar dan Perdana Menteri? Jawapannya mudah kerana orang-orang Melayu yang membuka negeri ini mengikut ilmu bagaimana menjadi satu negeri dan mengangkat keturunan datuk nenek moyang Raja menjadi Raja nya dan jika Negeri Sembilan terpaksa mencari raja di Pagar Ruyong di Sumatera Barat setelah perhijrahan besar-besar orang Minangkabau ke Negeri Sembilan yang dahulunya namanya mengikut nama daerah seperti Rembau, Jelabu dan Naning.

Dalam kes Karpal Singh mempertikaikan keputusan Sultan Perak dalam pelantikan seorang Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, kedua pihak ia itu Kerajaan Perak dan Sultan Perak di mana Sultan hanya menentukan hukum hakam agama Islam dan pentadbirannya tetapi kerana Setiausaha Majlis kebiasaannya ialah Pengarah Jabatan Agama Islam, maka Raja berpendapat bahawa dia berkuasa untuk melantik Pengarah, Jabatan Agama Islam, sebenarnya Raja telah membuat satu kesilapan bila dia melantik Pengarah, sewajarnya dia melantik Setiausaha Majlis Agama Islam Perak dahulu dengan sendirinya dia akan menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam bukanya dia melantik Pengarah seperti amalan biasa.

Dalam kes Karpal Singh vs Sultan Perak, bukankah isu besar sangat, dia menjadi besar kerana kurang cerdik Pembesar UMNO menjawabnya. Bukankah mudah jika pemimpin UMNO ini cerdik sikit hanya sekadar berkata,Kita(orang-orang Melayu/Islam) bersyukur dengan Allah kerana sudah dibukakan hati Karpal Singh untuk menerima Negara Islam kerana dahulu dia pernah berkata langkah mayat saya dulu untuk menegakkan Negara Islam, kerana bukan kerana keyakinan kepada Negara Islam tentulah tidak mungkin Pengerusi DAP bermati-matian memperjuangkan kehendak Menteri Besar Perak dari PAS bagi menukarkan Pengarah Jabatan Agama Islam itu, Apa sekali pun walau dan apa caranya Islam yang hendak di bawa oleh PAS di Negeri Perak, UMNO memberikan sokongan kepada tindakan DAP mempertikaikan keputusan itu.

Tolong Jangan Hina Mahathir - Hishamuddin Rais

Tiba-tiba saya menerima satu panggilan telefon dari Pulau Pinang. Si pemanggil ialah Bakal Awek saya , seorang Minah cun yang bukan anak Mamak atau anak Mami. Dia memberitahu yang dia baru pulang dari Kedah kerana menghadiri diri dalam satu perhimpunan United Malays National Oganisation yang bersunat dan bukan perhimpunan haram yang tidak bersembelih.

Bakal Awek saya ini telah mengkongfirmkan berita bahawa Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Malaysia kita semua telah ‘ terberak dalam seluar… opps .. telah meninggalkan parti United Malays National Organisation’.

( Bakal Awek saya ini adalah agen yang saya upah untuk mengekori ke mana sahaja bekas Perdana Menteri kita ini menjelajah) .

Apabila berita itu saya terima maka saya ingin memberi ingatan kepada pembaca dan seluruh warga Malaysia: Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua.

Tolong jangan panggil dia Mamak Kutty. Tolong jangan buka cerita asal usul keturunan Keralanya. Jangan beritahu sesiapa pun tentang ‘application form’ nya ke King Edward College di Singapura yang bertulis : Mahathir s/o Iskandar Kutty. Sila jangan minta lihat borang ini yang masih tersimpan di pejabat Tengku Razaleigh.

Beberapa minit kemudian, saya menerima satu lagi panggil telefon. Kali ini dari junior saya di Malay College Kuala Kangsar. Pada pagi cuti Hari Wesak ini junior saya ini ternampak Rafidah Aziz meluru keluar dari kedai dandan rambut. Kasut tinggi tumit Rafidah terpatah. Menurut junior saya ini Rafidah Aziz telah menjerit-menjerit ‘why…why.. sir ? Why did you do this… sir.. ? Rupa-rupanya si pendandan rambut itu telah membotakkan kepala Rafidah.

Junior saya di MCKK ini juga telah memberitahu bahawa Rafidah kini sedang memacu kereta ‘four wheel drive’ nya untuk pulang ke Kuala Lumpur menuju ke Country Heights. Saya difahamkan si Rafidah Aziz ingin ke rumah Tun Dr. Mahathir untuk meminjam rambut palsu Datin Siti Hasmah.

Tolong jangan hina Mahathir

Saya juga menerima satu panggil dari Berlin, kenalan lama saya seorang wartawan di Frankfurter Allgemeine Zeitung ingin mendapat pengesahan - apakah betul Tun Dr. Mahathir Muhamad telah meninggalkan United Malays National Organisation? Wartawan ini juga ingin tahu sama ada laporan AFP yang mengatakan bahawa Mahathir Muhamad akan memasuki parti KIMMA betul atau tidak?

Saya sebagai warga Malaysia yang bertanggung jawab lagi ingin menjaga martabat kemelayuan dan ketuanan Melayu telah mengesahkan dengan sedih medih lagi pilu di hati bahawa memang betul lagi tepat Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty telah meninggalkan United Malays National Organisation. Sayangnya, kemungkinan beliau memasuki parti KIMMA seperti yang dilaporkan oleh AFP itu masih belum dapat saya pastikan.

Tolong jangan hina Mahathir. Dan tolong jangan gunakan ayat-ayat kitab-kitab suci atau merekrut Yang Maha Esa dalam hal ini. Sila jangan hantar sms dengan ayat-ayat berbunyi seperti : Jika tuhan ingin membalas seseorang maka terlebih dahulu dia akan menjadikan orang itu gila.

Tolong jangan ulangi dan jangan disebarkan satu cerita lucah yang berpunca dari Presiden Habibi dari Indonesia. Cerita ini telah tersebar luas pada zaman Reformasi dahulu. Saya anggap ada satu niat yang tidak baik dan tidak sopan di belakang cerita ini. Mengikut Habibi rakyat Indonesia menganggap Sukarno betul-betul gila perempuan. Presiden Suharto dianggap gila harta kekayaan. Manakala Tun Mahathir Muhamad dianggap oleh Habibi betul-betul gila.

Tidak lama sesudah saya menerima panggilan dari Kuala Kangsar ini, saya juga telah menerima satu lagi panggilan telefon dari kawan saya seorang lelaki India dari Sentul. Kawan saya ini seorang anggota MIC yang unggul dengan begitu gembira sekali telah mengulangi berita Tun Dr. Mahathir Muhamad meninggalkan United Malays National Organisation. Menurut kawan saya ini, MIC cawangan Kampung Chu Badak akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu hadapan untuk membincangkan hasrat ahli-ahli MIC yang ingin menjemput Mahathir Muhamad menjadi pemimpin MIC dan menggantikan Samy Velu. Ya asal balik usul.

Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad. Sedarlah rakyat Malaysia terutama orang Melayu bahawa Tengku Abdul Rahman adalah sebagai Bapak Kemerdekaan kita , Tun Abdul Razak ialah Bapak Pembangunan kita maka Tun Dr. Mahathir Muhamad tidak lain dan tidak bukan ialah Bapak Mirzan kita.

Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah seorang pejuang nasionalis bangsa Melayu yang begitu gigih, menangis-nangis dan telah bermati-matian berjuang untuk menaikkan taraf ekonomi bangsa Melayu. Dengan penuh kesedaran dan dengan semangat kemelayuan yang tebal sekali demi untuk menaikkan taraf ekonomi Melayu, Mahathir Muhamad telah meluluskan Akta Tanah yang membolehkan tanah rizab Melayu di jual tanpa di tambah ganti.

Dengan penuh kesedaran, juga untuk membantu ekonomi bangsa Melayu, Mahathir Muhamad telah di kelilingi oleh penasihat ekonomi yang gah lagi hebat. Mereka terdiri dari Ananda Krihnan, Vincent Tan, Lim Goh Tong, Ting Phek Khiing dan Eric Chia. Mahathir dengan bangganya telah membuktikan kepada orang Melayu bahawa seorang pemandu lori dan seorang penjual insurans boleh menjarah dan merompak ekonomi negara jika mereka pandai membodek Dr. M.

Tolong jangan hina Mahathir Muhamad

Mahathir Muhamad adalah patriot yang paling tulus lagi ikhlas. Lebih tulen dan hebat dari Patriot misile yang di buat oleh Amerika untuk menggodam Scud Saddam Hussein. Mahathir dengan semangat yang patriotik telah membuat perjanjian rahsia dengan Caspar Weinberger untuk membenarkan tentera dan soldadu Amerika datang masuk ke Malaysia. Tanpa Tun Dr. Mahathir Muhamad mungkin orang-orang Melayu tidak ada berpeluang melihat soldadu Amerika mendarat di Port Dickson.

Tidak cukup dengan patriotik, jiwa Mahathir Muhamad juga telah di salur pula semangat anti-Amerika yang berkobar-kobar. Mahathir dengan terbuka hati telah menjemput Amerika Syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ‘anti-terrorist’ untuk negara Asia. Kerana begitu patriotik dan anti-Amerika pusat ‘anti-terrorist’ ini telah di rahsiakan dari pengetahuan rakyat Malaysia dan orang Melayu. Malah ahli parlimen kita juga tidak mengetahui hal ini. Inilah dia jiwa seorang patriot yang cukup anti-Amerika.

Pusat ‘anti-terrorist’ ini cukup rahsia, sehinggakan anak Mahathir sendiri yang bernama Mukriz tidak tahu menahu apa yang telah dilakukan oleh ayahandanya. Dengan bangga sekali Mahathir telah menjemput Amerika untuk menubuhkan pusat rahsia ini. Semangat anti-Amerika Mahathir Muhamad ini begitu kuat sekali. Ini dibuktikan, belum pun sempat runtuhan World Trade Center di New York di baiki pusat ‘anti-terrorist’ ini telah didirikan entah di mana dalam negara kita ini. Ini adalah bukti semangat anti- Haliburton bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Haji Muhamad Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Muhamad ialah wira dunia ketika yang betul pro Arab dan anti-Isreal. Dengan senyap-senyap kerana dasar anti-Isreal yang berkobar-kobar, Mahathir Muhamad telah berunding dalam gelap dengan Shimon Peres di sebuah hotel di Paris. Rundingan dalam gelap ini tidak di ketahui oleh anakandanya Mukriz yang pada ketika itu turut bersama di Paris kerana sedang mencari ubat menyubur rambut. Hasil rundingan itu ialah lawatan tim kriket Israel ke Malaysia. Inilah contoh wira dunia ketiga yang pro Arab dan anti-Isreal.

Tolong jangan hina Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua

Kemelayuan Tun Dr. Mahathir Muhamad ini tidak ada tolok bandingnya. Bayangkan dalam negara kita ada beratus ribu peguam Bumiputera yang hebat-hebat, lihat siapa yang menjadi peguam peribadi Mahathir Muhamad – tidak lain dan tidak bukan orangnya ialah V.K. Lingam. Ini membuktikan : Air di cincang tidak akan putus. Mana gelap kulit Mahathir gelap lagi kulit Lingam. Hanya yang legam yang dapat melegam yang lain.

Kepada sasterawanis, penulis certot dan pejuang bahasa Melayu what is the because you angry-angry. Kita patut berbangga sama kerana Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah pejuang bahasa Melayu yang jumud lagi kuat kemut. Lihat bagaimana perkataan belanjawan telah diubah kepada bujet. Inilah contoh keglokalan Mahathir Muhamad.

Ingatilah sampai hari kiamat, tanpa inisiatif imitatif inovatif yang imaginatif dari Tun Dr. Mahathir Muhamad kita yang positif lagi reflektif menjadikan anak-anak Melayu kita hari ini tidak lagi tercicir dalam ‘maths and science’. Sekarang orang Melayu boleh berbangga kerana seorang anak Melayu telah dapat menumpang kapal angkasa komunis Rusia yang tidak bertuhan itu. What is the because you angry-angry dengan Tun Dr. Mahathir Muhamad. You Malay must equal hepi hepi.

So, tolong jangan you shykan dan look bottom Tun Dr. Mahathir Muhamad. Silap-silap nanti dia masuk Tamil Tigers.

20 May 2008

Lim Guan Eng guna ball pen harga murah

Rakyat Pulau Pinang diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan umat Islam dan penduduk bukan Melayu selepas DAP mentadbir di negeri itu.

Ini kerana pelbagai dakwaan kurang berasaskan dilemparkan pihak lawan bagi menggambarkan konflik sedang berlaku di Pulau Mutiara selepas Pakatan Rakyat menguasai negeri tersebut.

Anggota Jawatankuasa PAS Balik Pulau, Ustaz Mohd Fauzi Yusof berkata, akibat rasa cemburu dan iri hati pihak terbabit membuat pelbagai kenyataan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

Sedangkan apa yang berlaku sekarang umat Islam berada dalam keadaan aman, bahkan dalam masa yang sama kuliah dan ceramah agama boleh diadakan lebih bebas.
PAS tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri bahkan aktiviti parti boleh diadakan dengan lebih baik dan teratur berbanding sebelum ini, katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke sini, baru-baru ini.

Beliau bersama rombongan seramai 60 orang dari PAS Kawasan Balik Pulau mengunjungi kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10. Mereka berada di sini selama dua hari.
Mohd Fauzi juga mengakui hasrat KM Pulau Pinang, Lim Guang Eng, ingin jadikan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai idolanya dalam pentadbirannya semakin menjadi kenyataan.

Menurutnya ia dapat dibuktikan dengan sikapnya yang lebih bersederhana dalam mengurus harta kerajaan dan tidak menggunakannya bagi tujuan peribadi.
Rakyat Pulau Pinang sekarang sedang memerhatikan pemimpin kerajaan baru mentadbir negeri selepas diberi mandat pada 8 Mei lalu.

Alhamdulillah setakat ini apa yang saya perhatikan Ketua Menteri memang melaksanakan apa yang dicakapnya sebelum ni. Guna ball pen pun yang harga tak sampai seringgit, ujarnya.
Beliau juga berkata, pada masa ini PAS Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk mengaturkan program bersama rakyat kerana turut mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Kelas-kelas agama, dewan kerajaan juga boleh digunakan sekarang. Syukur Alhamdulillah sekiranya kerajaan berjaya menawan hati rakyat, mereka tetap akan bersama kita sampai bila-bila, ujarnya.

14 May 2008

Akta Hasutan 1948


Kini sah Raja Petra Raja Kamarudin telah didakwa dan seterusnya ditahan di Penjara Sungai Buloh dibawah Akta Hasutan 1948. Ianya terjadi disebabkan terdapatnya satu laporan polis (yang dilakukan oleh seorang anggota polis) yang melaporkan penerbitan satu artikel membabitkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di laman web Raja Petra Raja Kamaruddin (www.malaysia-today.net) kira-kira dua minggu lalu.


Apa yang saya musykilkan mengenai perkara ini adalah bagaimana begitu cepat pihak polis menyediakan pertuduhan serta terus memfailkan kes tersebut dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen. Malah terlalu mudah pula hakim membuat keputusan bagi kes ini yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan.


Kelakarnya insiden ini ialah laporan polis yang dikaitkan dengan kes ini dilakukan oleh pihak ketiga (seorang pegawai polis) yang tidak ada kena mengena langsung dengan isi kandungan artikel Raja Petra Raja Kamaruddin yang bertajuk “Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell” yang kononnya berbaur hasutan. Malah tidak ada seorang pun penama yang disebutkan didalam artikel tersebut yang berani tampil untuk membuat laporan polis.
Apakah pegawai polis yang membuat laporan tersebut telah diarahkan oleh penama-penama yang disebutkan didalam artikel tersebut atau pegawai polis itu sendiri yang beriya-iya menunjukkan sikap terlalu “membodek”. Yang pastinya hanya Allah S.W.T dan pegawai polis itu sahaja yang tahu.


Apa yang pelik sekali adalah kenapa tidak penama-penama yang disebutkan didalam artikel tersebut membuat satu laporan polis melainkan cuma berani mengeluarkan kenyataan akhbar melalui sidang media yang dibuat khas untuknya. Adakah kerana takut jika laporan polis dibuat maka ada kemungkinan beliau akan dipanggil ke Mahkamah kelak bilamana perbicaraan dilakukan? Atau beliau takut akan berlakunya “cross examination” terhadapnya yang mungkin akan mendedahkan lebih banyak “loop hole” dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu?


Walau apa pun keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah, kini terserlah lebih banyak kepincangan dalam Jabatan Peguam Negara, Polis dan Institusi Mahkamah sehinggakan rakyat marhaen berasa amat jelek dan muak mendengarnya.


Satu persoalan yang timbul ialah kenapa bila ada laporan polis yang telah dibuat oleh pengadu (seorang wanita) bagi kes mencabul kehormatan yang telah dilakukan oleh seorang bekas menteri (Barisan Nasional) yang kini khabarnya ada dimeja Peguam Negara namun masih tidak lagi dipanggil ke Mahkamah Sesyen atau Majistret untuk dihakimi walaupun kes tersebut nampaknya lebih lama (telah berlaku) dari pada kes Raja Petra Raja Kamarudin ini. Mungkin ianya tidak perlu atau mungkin juga ianya “tiada kes”?Apa yang pasti satu kes terletak dibawah “Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan” dan satu kes lagi dibawah “Seksyen 354 Kanun Keseksaan”


Telah terang lagi bersuluh bagaimana beberapa “selective prosecution” telah dibuat dan diambil oleh pihak Peguam Negara dan Institusi Kehakiman bagi dua kes yang saya sebutkan diatas.

12 May 2008

Isu persenda istana di Terengganu, PM tidak bertindak?

Masihkah anda ingat pada 29 April 1993 apabila seorang pemimpin Umno Kelantan ketika itu menabalkan seorang raja pada satu majlis di Ketereh.

Tidak pula kedengaran seorang pemimpin utama negara mengarahkan Setiausaha Agung Umno membuat laporan polis ke atas pemimpin yang jelas mempersendakan seorang sultan.

Tidakkah ini jelas satu double standard yang dicerminkan pemimpin Umno sekarang. Sedangkan peristiwa yang berlaku pada April 1993 bukan sekadar mencabar raja malah cubaan menolak institusi raja-raja.

�Pemimpin Umno terbabit dianggap cuba mempengaruhi sekumpulan rakyat bagi membangkit kebencian terhadap raja-raja Melayu. Namun mengapa Perdana Menteri tidak bertindak agresif seperti sekarang,� kata seorang pegawai pencen.

Pada peristiwa yang mencatat sejarah hitam dalam institusi beraja di Kelantan itu kedengaran laungan Daulat Tuanku ketika menyambut ketibaan Tengku Ibrahim Petra pada majlis pemasyhuran Anugerah Pingat Emas Kecemerlangan Indera Petra.

Ketibaan beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Ketereh disambut meriah dengan iringan sirih junjung dan perarakan pulut semangat dan paluan nobat.

Antara pemimpin Umno Kelantan yang dikatakan terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit iaitu Datuk Annuar Musa yang berjawatan menteri ketika itu.

Seorang lagi bekas kakitangan kerajaan mempersoalkan mengapa pula isu menghina Sultan Terengganu dengan perkataan �natang� semasa isu pelantikan Menteri Besar tidak dihebohkan seperti sekarang.

Pemimpin Umno sendiri yang menolak pelantikan Datuk Ahmad Said sehingga mengugut mahu menyingkirkannya daripada parti.

�Tidakkah pemimpin utama Umno sendiri yang seolah-olah mengajar rakyat Terengganu tidak menghormati institusi raja dengan menolak Ahmad pada peringkat awalnya,� kata beliau.

Bekas anggota jawatankuasa Umno Kubang Kerian, Ibrahim Mamat berkata, dua peristiwa yang berlaku itu jauh berbeza dengan teguran Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap campur tangan istana dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Menurutnya, kes yang berlaku di Kelantan pada 1993 dan di Terenganu baru-baru ini bukan lagi sekadar menghasut sebaliknya menghina institusi raja-raja Melayu.

10 May 2008

Pengerusi SPR tipu rakyat apabila batal guna dakwat

Pihak polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti adanya mana-mana pihak yang telah membawa masuk dakwat penanda kuku untuk mensabotaj ketelusan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.
Demikian pendedahan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menerusi jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada sidang Dewan Rakyat, Selasa (6 Mei) lalu.
Dalam soalannya, Fong ingin tahu hasil siasatan pihak polis ekoran pembatalan penggunaan tanda dakwat kuku semasa pilihan raya baru-baru ini. Jawapan Hamid Albar itu sekaligus mendedahkan bahawa alasan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan penggunaan dakwat itu adalah suatu pembohongan yang semata-mata berdasarkan andaian tidak berasas.
Pada 4 Mac lalu, iaitu empat hari sebelum pembuangan undi pada pilihan raya, SPR mengejutkan negara apabila mengumumkan pembatalan cadangan penggunaan dakwat kekal pada kuku semasa proses pembuangan undi pilihan raya itu.
Sewaktu mengumumkan perkara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, laporan keselamatan diterima pihaknya mendedahkan terdapat pihak tertentu di Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara.
Dakwa Rashid lagi, pihak itu dikatakan merancang untuk mensabotaj perjalanan pilihan raya dengan mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi, terutama di kawasan luar bandar. Tujuan pihak tertentu itu, yang entahkan wujud atau tidak, menurut teori Rashid ialah bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.
Logiknya, apabila kuku telah ditanda, status pengundi itu akan dipertikaikan kerana dia dianggap sudah keluar mengundi. Ekoran andaian kemungkinan buruk itu, SPR dikatakan mendapatkan nasihat dari segi perundangan dan ketenteraman awam. Jalan mudah bagi SPR mengelakkan kemungkinan itu ialah mengambil keputusan membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu. Malah Rashid turut dilaporkan membayangkan penggunaan dakwat kekal itu, jika diteruskan, dikhuatiri akan mencetuskan kekecohan di tempat pengundian, 8 Mac lalu.
Bagai diduga, pihak paling gembira dan menyambut baik pengumuman SPR itu ialah kalangan pemimpin Barisan Nasional. Akhbar harian dalam beberapa hari selepas itu memuatkan komen para pemimpin utama BN yang rata-rata menganggap keputusan diambil SPR itu amat tepat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendahului yang lain memuji langkah SPR itu. Beliau mengandaikan ada pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat itu pada kuku jari sehingga menyebabkan mereka tidak layak mengundi.
"Kalau tidak layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan ketegangan pada hari mengundi," katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 6 Mac.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula mengandaikan sekiranya dilaksanakan juga cadangan itu, sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian.
Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.
Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno, Datuk Kamelia Ibrahim malah berkata, dakwat itu akan digunakan sebagai �senjata� oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Pandangan beberapa pemimpin BN lain turut disiarkan. Kesemuanya memberikan andaian serupa yang bertitik-tolak daripada apa yang didakwa oleh Rashid sebagai "laporan keselamatan" diterima pihaknya itu.
Di kalangan pemimpin pembangkang pula, tindakan mengejut SPR itu dianggap sebagai strategi saat akhir BN untuk menyelamatkan taktik kotor yang selama ini didakwa digunakannya. Bukankah penggunaan dakwat kekal itu dicadangkan parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kemungkinan penipuan?
Sejak sekian lama terdapat dakwaan adanya pengundi yang mengundi lebih daripada sekali, terutama membabitkan beberapa tempat pembuangan undi yang berbeza. Taktik ini didakwa digunakan BN bagi memastikan pengundinya dapat membuang undi bagi pihak pengundi lain, terutama mereka yang tidak pernah keluar mengundi atau tidak dapat mengundi disebabkan berbagai alasan.
Kecurigaan atas ketelusan proses pengundian membabitkan pengundian berulang itu mendorong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyenaraikan penggunaan dakwat kekal itu sebagai salah satu tuntutannya kepada pihak kerajaan.
Kesediaan SPR pada awalnya untuk melaksanakan cadangan itu dianggap menggambarkan keterbukaan kerajaan dan ketelusan SPR itu sendiri. Malang bagi rakyat yang mendambakan sebuah pilihan raya yang adil dan telus apabila di saat akhir menjelang pilihan raya, SPR menarik balik kesediaannya untuk menggunakan dakwat kekal itu.
Lebih malang dan lebih memalukan kita semua, pembatalan itu rupa-rupanya dibuat bersandarkan suatu "laporan keselamatan" yang terbukti bohong dan tidak berasas.
Barangkali, sesiapa yang rasa tertipu dan diperbodohkan oleh tindakan SPR itu boleh membuat laporan polis terhadap SPR dan pengerusinya sekali?

Kos tanggung tiga penasihat PM cecah RM 1.2 juta

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi dibidas kerana membelanjakan jumlah peruntukan yang besar sebanyak RM1,134,401.40 setahun untuk menanggung tiga penasihat beliau.

Tiga penasihat ialah Penasihat Petronas Tun Dr. Mahathir Mohamad;Penasihat Agama Islam Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Penasihat Khas Hal Ehwal Pembangunan Wanita & Sosial Dato Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam jawapan bertulis Abdullah kepada soalan lisan Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baharu) menyatakan bahawa peruntukan seperti gaji, emolumen, elaun dan kos untuk penasihat Petronas itu berjumlah RM15,000-00 sebulan.
Ini tidak termasuk kemudahan yang disediakan seperti kos kakitangan, pejabat, logistik dan lain-lain yang tidak diberikan jumlahnya.

Manakala peruntukan untuk Penasihat Agama Islam pula ialah RM27,163.00 sebulan dan RM18,643.25 untuk gaji serta elaun kakitangan.
Bagi Shahrizat selaku Penasihat Wanita, beliau dibayar RM33,727.20 sebulan dan tidak termasuk gaji dan elaun kakitangan yang masih dalam proses kelulusan JPA.
"Ini adalah satu jumlah yang besar untuk menanggung tiga orang Penasihat yang tiada sebarang fungsi ataupun fungsi yang bertindih (duplicate).

"Sedangkan Abdullah sudah punya Lembaga Pengarah Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama Dato' Dr. Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Wanita & Sosial Dato' Ng Yen Yen untuk menasihati beliau dalam hal-hal berkaitan," kata Zulkifli dalam blognya.
Katanya perkara ini merupakan satu penyalahgunaan dan pembaziran wang rakyat sedangkan pemimpin sentiasa mendengar rintihan rakyat miskin samada yang disuarakan dalam Parlimen atau diluar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tambah Zulkifli lagi wang rakyat berjumlah RM1.2 juta itu boleh menanggung seorang anggota polis selama 12,371 bulan atau 1,030 tahun (pada kadar gaji RM900.00 sebulan) manakala dengan peruntukan penasihat itu boleh membina 36 biji rumah untuk rakyat miskin pada kadar RM25,000.00 sebuah rumah.

"Mengapakah perlu wang rakyat sebanyak ini dibazirkan kepada 'dinasour' Umno, pupusan Wanita Umno dan golongan pencen Umno?

"Kita berdoa semoga rakyat tidak kira apa bangsa dan agama akan celik mata melihat sandiwara keangkuhan dan kesombongan rejim Umno dan BN ini," katanya yang juga seorang peguam.

Najib perlu jawab, bukan 'selindung' di bawah Akta Hasutan

Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Rosmah Mansor perlu menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pengendali Laman Web Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin dan bukan berselindung di sebalik Akta Hasutan 1948.

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pendakwaan terhadap Raja Petra bermotifkan politik semata-mata, dalam keadaan artikel "Let's Send Altantuya Murderer To Hell" tidak langsung dibidas dan dijawab secara berfakta Najib dan Rosmah.

"Serangan Raja Petra ke atas Najib dan Rosmah tidak boleh sama sekali ditakrifkan sebagai hasutan kepada kerajaan, dalam keadaan ia tidak langsung merujuk kepada kerajaan, sebaliknya hanya peribadi dan moral Najib serta isterinya," katanya dalam satu kenyataan media.
Kata Shamsul adalah menjadi tanggungjawab moral Najib dan Rosmah untuk menjawab secara berfakta dan berhadapan dengan sebarang bentuk tuduhan ke atas mereka, dengan membuktikan sebaliknya bukan menunjukkan ketakutan mereka dengan berselindung di sebalik akta 'drakonian' tersebut.

AMK katanya menggesa agar pertuduhan ke atas Raja Petra digugurkan atas alasan pendakwaan yang tidak sempurna dan tempang memandangkan kehendak-kehendak kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan tidak dipenuhi dengan ketat.
"Kita menggesa Najib agar bersikap 'jantan' dan terbuka untuk menerima kecaman dan kritikan," katannya.

Dalam pada itu beliau turut mendesak agar Parlimen memansuhkan segera Akta Hasutan 1948 bagi mengelakkan sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan oleh kerajaan BN, khususnya di kalangan mereka yang bersikap jahil dan takut untuk dikecam dan dikritik.

08 May 2008

Si penderhaka yang mahu membela istana

Tiba-tiba negara digemparkan dengan teriakan para hulubalang. Masing-masing menghunus keris dan menjulang-julangnya ke udara. Rakyat menjadi gamam. Apa pula gerangan isunya hingga para hulubalang itu menjadi gempar dan mengamuk tidak tentu haluan.

Baru sebulan lalu, para hulubalang di negeri sebelah Timur berdemonstrasi di hadapan istana. Membuka langkah menghantar memorandum tidak berpuas hati dengan Majlis Pemangku Raja. Watikah bantahan dihantar mempersoalkan tindakan majlis melantik bendahara negeri yang tidak diperkenan parti para hulubalang.

Di masa yang sama, puluhan perajurit memegang kain pemidang bertulis "Kami mahu Deris binatang!", "Kami sokong Deris sebagai bendahara", "Kami tak mahu Md Said". Banyak lagi kain pemidang yang ditayangkan di hadapan istana. Semuanya berunsur menghina dan menderhakai istana.

Selepas menghantar memorandum bantahan, para hulubalang itu bergerak ke kediaman rasmi bendahara dan membuat pengumuman penting.

Antaranya, jurucakap hulubalang mahu calon yang dipersetujui Yang Dipertua parti hulubalang diangkat sebagai bendahara. Jika calon lain diangkat istana, maka para hulubalang akan memberontak dan paling kurang pun meletakkan jawatan.


Begitulah tekad hulubalang. Apabila dingatkan sang warta bahawa hasrat para hulubalang untuk meletakkan jawatan akan menyebabkan mereka kehilangan jawatan itu buat seumur hidup, maka jurucakap para hulubalang penderhaka itu pun dengan gugup gagapnya berkata: "Errr... kami akan mengkaji semula hasrat kami itu, kami acah-acah aja..."

Kesudahan ceriteranya, hasrat para hulubalang itu tidak kesampaian, dan calon yang dipilih Majlis Pemangku Raja terus kekal sebagai bendahara.
Di sebuah negeri di utara Semenanjung, gegak gempita pemilihan bendahara juga berlaku. Calon daripada parti hulubalang mengamuk sakan kerana jawatan yang sepatutnya dianugerahkan kepadanya diberikan kepada orang lain.
Maka hulubalang itupun menghunuskan kerisnya ke udara mahu Yang Dipertua parti hulubalang bertegas melantiknya ke jawatan itu.

Watikah perlantikan telah diterima dan istana tiada hak mengetepikan watikah daripada parti hulubalang, jelasnya kepada sekumpulan sang warta.
Maka gegak gempita lah seluruh negara. Yang pekak datang bertanya. Yang bisu ternganga-nganga. Yang cacat datang bertongkat. Yang lumpuh berkerusi roda. Yang jahil menggeleng tak tahu apa-apa.

Akhirnya calon istana dipilih jua dan si hulubalang terpaksa menumpang rumah abang kakak kerana hilang tempat berteduh, setelah rumah rasmi diambil alih bendahara baru.
Tiba-tiba para hulubalang berbuat bising lagi. Kali ini angkara seorang bai tua berkerusi roda yang didakwa menghina istana. Bai itu dianggap biadap dan tak tahu adat Melayu kerana mempersoalkan titah Raja.

Ada seorang Melayu DKK yang punyai ilmu undang-undang menyifatkan si bai boleh didakwa kerana menghasut. Ada seorang Hulubalang Melayu DKA menuduh si bai sebagai biadap dan mencabar kedaulatan sultan. Maka si bai dianggap sombong dan bongkak setelah menang dalam pemilihan umum lalu.

"Parti hulubalang tidak pernah mempertikaikan titah istana. Kalau kita tak setuju pada istana, kita pergi menghadap sultan dan beritahu secara berbahasa," kata hulubalang Melayu DKA kononnya.

Ramai pemimpin Melayu tulen parti hulubalang turut masuk campur. Ada yang sanggup mempertahankan istana dari kebiadapan si bai walaupun mereka tahu si bai hanyalah seorang tua yang lumpuh berkerusi roda.
Ada juga pemimpin pelajar penyokong parti hulubalang yang memberikan tarikh lupus kepada si bai untuk menarik balik kenyataannya. Jika tidak keris mereka akan bermandi darah.

Begitulah gegak gempitanya parti hulubalang "mempertahankan kedaulatan istana" yang konon-kononnya kini tidak selamat kerana dicabar si bai berkerusi roda.
Komen paling keras datangnya daripada mantan Yang Dipertua parti hulubalang. Hulubalang tua itu menakutkan rakyat tentang gambaran sebenar masa depan rakyat jika parti-parti sekutu si bai tua diberi mandat besar oleh rakyat untuk menerajui negara.
Ada cubaan untuk mengaitkan parti muslim, sekutu parti si bai dalam kancah isu penderhakaan itu.

Bagaimanapun dua pemimpin kanan parti muslim dilaporkan sang warta mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memberikan sebarang ulasan berhubung isu itu.
Ialah. Sikap pemimpin parti muslim itu difahami kerana sang warta mahir dalam kepandaiannya memutarbelitkan kenyataan pemimpin parti lawan parti hulubalang.
Seorang pemimpin Melayu tulen pernah dianggap murtad dan menggadai agama kerana memakai sigah kaum kadazan yang berlambang salib. Hasilnya, parti pemimpin Melayu tulen itu kalah teruk dalam pemilihan umum.

Bagaimanapun kemajuan teknologi siber menjadikan rakyat benar-benar celik isu.
Dalam hingar bingar sang hulubalang menghunus keris dan menjulangnya ke udara kerana kononnya mahu membela istana; hamba rakyat tertanya-tanya.
Bagaimana mungkin hulubalang yang berpakat mengurangkan kuasa para sultan ketika mereka di puncak kuasa boleh dipercayai untuk membela istana?

Bagaimana mungkin perajurit-perajurit hulubalang yang menghina istana dan sultan dengan lafaz kata "binatang" boleh lebih dibela dan diberi muka berbanding seorang bai tua yang hanya mahukan penjelasan tentang batas kuasa istana?
Bagaimana mungkin penghulu hulubalang yang menghunus keris mahu mengamuk ke saentero negeri kerana tidak dipilih sebagai bendahara, tiba-tiba mahu mendabik dada sebagai pembela istana?

Bagaimana mungkin hulubalang yang membawa lari puteri raja untuk dinikahinya di seberang negeri, kemudian diceraikan sesuka hati, mampu memelihara maruah istana dan raja negeri?

Bagaimana mungkin parti penderhaka boleh menjadi pelindung institusi raja-raja?
Maka si pekak, si bisu, si lumpuh dan si jahil yang pada mulanya geram menatap Utusan Warta, mencampak akhbar itu jauh-jauh dan berkata: "Kita tertipu lagi rupanya. Mana mungkin si penderhaka boleh jadi Sang Setia!"


Maka mereka pun pulang ke rumah membuka TV dan menonton rancangan "akademik fantasia" dan "jom buat-buat heboh".

Nota: Cerpen pendek ini hanyalah saduran peristiwa semasa. Watak dan latar belakang kejadian hanyalah rekaan dan tiada kena-mengena dengan mereka yang masih hidup atau meninggal dunia.

05 May 2008

Amy terharu dikunjungi Mursyidul Am

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk memperhalusi strategi bersama dalam rangka memperkembangkan kuasa politik ke peringkat nasional.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata setakat ini beliau sedang menguruskan untuk mengadakan pertemuan antara kelima-lima negeri Pakatan Rakyat bagi membincangkan mengenai agenda tersebut.
"Selepas pertemuan yang diadakan bersama penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, sekarang ini saya sedang berbincang untuk menangani hal pertemuan dengan ketua-ketua di lima negeri yang diterajui Pakatan Rakyat," ujarnya ketika ditemui di Restoran Cheng Ho, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menjelaskan bahawa pertemuan tersebut dijangka akan dibuat dalam tempoh terdekat memandangkan beliau akan mengerjakan ibadah umrah hujung bulan ini.
"Saya juga sedang dalam proses untuk membuat kertas kerja mengenai isi kandungan perbincangan tersebut," katanya lagi.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz ditemui ketika menjamu selera di Restoran Cheng Ho milik penyanyi terkemuka, Amy Search yang terletak di Wangsa Maju.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman,50 melahirkan rasa terharu dengan kehadiran Menteri Besar tersebut yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang begitu disegani oleh semua pihak.


"Saya sangat terharu kerana beliau sudi hadir menjamu selera di Restoran saya ini kerana sememangnya saya meminati personaliti beliau yang sangat karismatik dan low-profile," katanya.
Ditanya mengenai label yang mungkin akan diletakkan kepada beliau apabila menyanjungi seorang tokoh politik, Amy menegaskan bahawa itu adalah hak individu kerana beliau berhak untuk meminati sesiapa.

"Saya meminati tok guru dengan imej dan personaliti beliau sebagai seorang tokoh agama serta pemimpin yang hebat, kenapa harus takut dengan label-label yang berbau politik.
"Masyarakat yang ada pada hari ini telah dapat menilai sesuatu dengan lebih baik dan kita tidak perlu bimbang kepada elemen label-melabel kerana ianya tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi.

Ustaz Nik Aziz menghabiskan masa lebih kurang dua jam menikmati hidangan masakan Cina Muslim di restoran tersebut sebaik selesai merasmikan pembukaan kedai buku Sarjana Media yang terletak di Pasaraya Carrefour Wangsa Maju.
Pada majlis yang sama, beliau telah menandatangani plak perasmian, serta menandatangani buku-buku terbaru karangan beliau yang turut dijual di kedai tersebut.
Pemilik kedai buku tersebut, Tajudin Senafi berkata beliau telah lama berhasrat menjemput Tuan Guru Nik Abdul Aziz merasmikan pembukaan cawangan baru kedai buku miliknya.

"Kemunculan cawangan ini merupakan yang ketiga di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur, dengan tujuan kami untuk menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat di sini," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, penulis Hj Subky Latif serta ayahanda kepada bekas permaisuri Puan Seri Aishah, Dato' Seri Abdul Rahman.
Menurut Tajudin, Puan Seri Aishah sememangnya meminati buku-buku karangan Ustaz Nik Aziz sehingga tidak melepaskan peluang mendapatkannya setiap kali terdapat karya terbaru.

Orang ramai berpusu-pusu memenuhi kedai buku tersebut sejam lebih awal yang kemudian semakin sesak semasa sesi tandatangan buku dijalankan di kedai tersebut.
Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama Ustaz Nik Abdul Aziz sambil mendapatkan tandatangan beliau.

Majlis turut diserikan dengan persembahan bacaan salawat oleh anak-anak yatim daripada Rumah Anak-anak Yatim Baitul Ummah yang berusia tujuh hingga 14 tahun.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Nik Abdul Aziz serta penyampaian cenderamata kenangan daripada pihak penganjur.

03 May 2008

"Angkuhnya Khairy pertahan ISA"

Saya keluar dari bangunan Parlimen petang tadi dengan hati yang panas dan menggelegak. Sekiranya saya ada bawa air asid, hendak saja saya simbah ke muka mereka yang begitu 'sayang' dan angkuh kerana mereka dijaga oleh ISA.
"I tak boleh pakai 'badge' ni sebab 'I Luv ISA'. Lagi pun family I belum ada yang kena ISA, itu lah jawapan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang juga menantu bekas penguasa ISA, Khairy Jamaludin, ketika dihulurkan lencana ISA kepada beliau petang tadi.

Sebelum itu saya dan YB Dr Lo Lo Mohd Ghazali (PAS Titiwangsa) menghulurkan lencana yang sama pada Mukhriz Mahathir (BN Jerlun) dan jawapannya ialah "saya tak boleh ambil badge ni lagipun, kalau tak salah, kenapa mereka kena ISA pula?"

Berdesing telinga saya mendengar kata-kata itu. Itulah antara kata-kata sebahagian ahli Parlimen Barisan Nasional yang kami temui di Parlimen petang tadi.

Pada hari ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mengadakan satu majlis khas menyerahkan lencana ISA kepada semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Di majlis itu, GMI dengan kerjasama Bar Council menyerahkan satu memo yang diterima oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah dimana dalam memo itu, mendesak supaya semua tahanan di Kem Kamunting (Kemta) segera dibebaskan.

Dalam majlis itu, Saudara Amer Hamzah, yang menjadi peguam tahanan, mendesak supaya Dato' Seri Syed Hamid Albar pergi melawat tahanan di Kem Kamunting dan lihat sendiri keadaan mereka.

Syed Hamid dilantik menjadi menteri kerana beliau di pilih oleh rakyat, justeru, dia sepatutnya berusaha untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukan setakat melawat tahanan ISA di Kem, tetapi juga untuk membebaskan mereka dengan segera.

Majlis penyerahan lencana ini adalah salah satu usaha untuk mendidik rakyat yang dipilih menjadi ahli Parlimen supaya mereka mempunyai sedikit rasa simpati terhadap nasib Tahanan ISA yang berada dalam pemerintahan mereka.

Ahli Parlimen adalah orang yang dipilih rakyat untuk membela nasib mereka.

Namun, dari pemerhatian saya, walaupun ramai rakyat tidak suka ISA, namun pemimpin yang mereka pilih ini adalah dari golongan manusia yang hati mereka telah kering kontang dari sifat belas kesihan kepada sesame manusia.
Walaupun rakyat telah memberi gambaran bahawa mereka menolak pemimpin yang ego,bongkak dan tidak berperikemanusiaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, namun semua pemimpin yang saya temui tadi seolah-olah tidak ada rasa simpati, jauh dari rasa insaf dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh rakyat.

Saya rasa amat malang menjadi rakyat Malaysia kerana mempunyai pemimpin yang sengaja jahil dan tidak mahu membuka mata hati mereka terhadap kejahatan serta kezaliman ISA.

Mungkin mereka akan sedar jika Umno sudah dibubarkan dari bumi Malaysia ini.

Dari : Norlaila Othman (Keluarga Tahanan ISA 6 tahun)