25 May 2009

NAJIB TERKEJUT DIA BUKAN PM LAGI...!!

MAHKAMAH RAYUAN KETEPIKAN DOKTRIN RAJA BERPERLEMBAGAAN
oleh :Mohamed Hanipa Maidin

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria . Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa:

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut.

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

16 May 2009

Hakim yang mendengar rayuan Zambry terlibat dengan Skandal Lingam!

Patutlah tak sampai beberapa jam dah boleh bagi "stay of execution". Itu pun dia bagi penghakiman yang begitu tidak jelas sehingga sekarang ini hakikat sebenarnya MB Haram, Zambery sedang melakukan tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan oleh MB sah yakni Nizar.

Ramly Mohd Ali ini yang dinamakan oleh VK Linggam dalam perbualan yang direkodkan oleh MP Kelana Jaya tempohari.

Mengikut perbualan itu, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim. Mereka adalah Datuk Heliliah Mohd Yusof, Datuk Ramly Ali dan Dato Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002.

Juga, mengikut Jeff Ooi, Hakim Ramly ini baru menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 15 April 2009, yakni 27 hari sebelum Zambery merayu kes itu di mahkamah.

Sepatutnya hakim-hakim yang dinamakan oleh Linggam ini disiasat atau diberhentikan kontrak mereka, bukannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan. Dan tidak sepatutnya mereka mendengar kes yang begitu serius dan besar seperti ini.

Dan kita pun nampak betapa mudahnya Hakim Ramly ini mendengar kes rayuan dari Zambery MB Haram. Mungkin Hakim Ramly ini terhutang budi dgn UMNO. Apa pun beliau bukan seorang hakim yang boleh diyakini sebagai tidak memihak kerana perlantikan beliau sebagai hakim adalah atas ihsan UMNO.

Apabila Nizar merayu, terpaksa menunggu 5 hari dan terpaksa berhadapan dengan panel 3 hakim pula. Heran, heran heran. (Correct, Correct, Correct)

Kes sebesar ini seharusnya didengari oleh sebuah panel hakim yang tidak kurang dari 3 orang dan mestilah dari kalangan hakim yang tidak terpalit skandal dan mempunyai pengalaman yang lama. Kes ini melibatkan pemerintahan sebuah negeri yang mempunyai 1.5 juta jiwa. Ianya adalah kes yang bersangkutan dengan kepentingan awam yang amat besar.

Malangnya, kes rayuan Zambery ini telah di dengari oleh hakim yang paling "junior" serta hakim yang sama terpalit dalam skandal VK LInggam (Correct, Correct, Correct).

Inilah dia rupa keadilan Malaysia. UMNO telah berjaya melacurkan mahkamah di Malaysia untuk menjadi pelacur kelas satu kepada UMNO

PESANAN MUFTI PERAK ? BETUL KE?

Betulkah di dalam menentukan siapa yang mendapat majoriti kepercayaan di dalam Dun Perak memadai dengan memberitahu DYMM Sultan Perak sahaja? Apa guna adanya Dun? Mengapa jika benar ikhlas, usul undi tidak percaya kepada YAB Ir Nizar selaku MB Perak tidak dibawa ke Dun? Mengapa diselesaikan di dalam Istana sahaja? Seharusnya MB Perak ketika itu dan seluruh ahli dewan ketika itu dapat melihat dengan nyata sekali bahawa MB Perak ketika itu sememangnya telah hilang kepercayaan. Kemudian barulah keputusan Dun dibawa ke Istana. Sebab itulah Tun Mahathir kata, tindakan Umno/Bn di Perak amat gopoh sehingga kini memakan diri.

Saya tidak jelas dan keliru dengan maksud," kita haram berkasih sayang dengan orang kafir tetapi boleh berbaik-baik sahaja". Benarkah itu pendapat Mufti Perak atau pun pendapat yang empunya blog sahaja?

Kes Elizbebeth Wong amat jelas. Beliau bukan Islam dan tidak terikat dengan hukum Islam. Maksiat? Saya tidak tahu adakah seseorang yang tidor `berbogel atau separuh bogel' di rumahnya sendiri dikira satu perbuatan maksiat apatah lagi bagi bukan Islam. Atau adakah bukti dan saksi bahawa terdapatnya perbuatan yang sumbang di antara YB Eli dengan sesiapa ? Sehingga kini Polis sendiri tidak selesai dalam siasatan mereka. Bahkan, jika seseorang Islam sendiri pun tidak boleh kita tuduh mereka berzina melainkan cukup saksi-saksinya. Jika ditakrif `maksiat' dari segi syariat Islam, orang perempuan yang membuka aurat mereka juga dikira melakukan maksiat juga. Tentu Rosmah Mansor dan Shahrizat Jalil bersetuju dengan pendapat saya ini. Kes YB Eli ini di mana letaknya `maksiat' itu dan takrif apa yang mereka gunakan?

Mengapa Tuan Guru Nik Aziz berbaik dengan DAP ? Ini adalah DAP tidak pernah menentang PAS secara fizikal atau menghina Islam. Umno bagaimana ? Siapakah orangnya yang sering menghina hukum hudud? Ustaz dan ustazah Umno ada yang pernah menyindir hukum hudud sedangkan mereka Islam. Apa yang PAS boleh harapkan daripada DAP yang boleh dikatakan diterajui oleh mereka yang bukan Islam? Tetapi sekurang-kurangnya ahli DAP sekarang menyokong PAS walaupun mereka ketahui PAS berhasrat untuk melaksanakan Islam. Ahli Umno sokong PAS ke? Jika Karpal Singh berkata, langkah mayat dia dulu jika PAS mahu laksanakan Islam, apakah pemimpin dan ahli PAS terasa? Sudah tentu tidak kerana Karpal Singh bukan Islam dan kita anggap beliau jahil tentang hukum Islam. PAS amat terasa bila ustazah Umno berkata, seorang ibu boleh melacur jika `dharurat' untuk mencari duit bagi menanggung keluarga. Ustazah ini juga pernah mempermainkan hukum hudud apabila berkata jika pencuri asyik dipotong tangan dan kaki atas kesalahan mencuri, akhirnya mulut dan hidung juga akan dipotong jika masih mencuri. Ustazah ini mencadangkan agar sipencuri diberi kerja bukan dihukum secara sedemikian. Seorang pemimpin agung Umno pernah berkata, negara akan mundur jika rakyat mereka kudung tangan akibat hukuman hudud.

Sebenarnya pada saya, Umno terlalu susah hati apabila masyarakat bukan Islam kini mula menyokong PAS. Walaupun DAP menentang hukum hudud, mereka benci tetapi mereka juga rindu kepada keadilan Islam. Itu yang buat Umno/Bn sakit hati.

WFAUZDIN NS

"Anak Haram" disidang DUN Perak

7 MEI 2009, tidak syak satu lagi tarikh gelap gelita bagi demokrasi di Malaysia. Sidang Dun Perak yang haram dan tidak mengikut undang-undang serta perlembagaan itu hanya menyerlahkan sikap rakus (Mahathir sebelum ini menyifatkan tindakan rampasan kuasa BN Perak ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagai gopoh) BN yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih kerajaan Perak.

Benar sekali perumpamaan Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa tindakan memalukan di sidang Dun itu boleh disifatkan sebagai persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu, yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu. Ia bermula daripada tindakan rampasan kuasa yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negeri.

Begitu juga dengan sidang Dun di bawah pokok yang terpaksa diadakan selepas pihak polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang masuk campur dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka terlibat. Ya, bagaimana Speaker V Sivakumar dihalang daripada menjalankan tugasnya.

Begitu juga yang berlaku di Dun Perak 7 Mei apabila Sivakumar diperlakukan dengan begitu biadab dan dibawa keluar daripada dewan dengan cara samseng jalanan. Pelik, dalam keadaan sidang Dun belum bermula tiba-tiba timbalan speaker yang belot itu, Hee Yit Foong, boleh menjalankan tugas-tugas speaker dan kemudiannya melantik speaker baru. Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu? Sedangkan Sivakumar masih ada di situ dan belumpun memulakan persidangan Dun pun!

Campur tangan polis pula satu hal serius yang harus diberi perhatian. Sudahlah selama ini pihak polis sanggup menjadi alat dan perkakas untuk BN mempertahankan sakibaki kuasa mereka, kali ini mereka bertindak lebih rakus lagi, dengan menyeret keluar Sivakumar daripada dewan.

Walhal dulu, semasa kes Karpal Sing dikasari di Parlimen, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa polis tidak mempunyai kuasa dalam kamar dewan. Walaupun jika berlaku pergaduhan hanya petugas Dewan sahaja boleh mengambil tindakan perlu, termasuk tangkapan. Dalam sidang Dun Perak tak dapat dipastikan berapa ramai anggota polis yang hadir terutama yang berpakaian preman.

Juga yang menjadi tandatanya, bilakah masa sebenar sidang Dun bermula, apakah selepas perasmian oleh Raja Nazrin Shah yang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3 petang atau sebelum itu lagi? Bagaimana pula dengan kesahihan perlantikan Speaker yang baru, Ganesan, yang dibuat secara haram dan bercanggah dengan Perlembagaan?

Memang segalanya menjadi cacamarba dan haru-biru apabila begitu ramai anak haram yang lahir daripada persetubuhan haram awal Februari lalu. Tapi yang pastinya, dalang di sebalik apa yang berlaku ini, Najib Razak tidak berasa apa-apa yang perlu dimalukan dengan begitu ramainya "anak-anak haram" yang berkeliaran di negeri Perak itu!

Oleh Ahmad Lutfi Othman
http://jiwapejuangkini.blogspot.com/

13 May 2009

Menteri Besar Haram DiBenarkan Jalankan Tugas Menteri Besar Halal

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya percaya ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Hakim Mahkamah Rayuan , Dato Ramly Ali menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bermakna Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut, elok rasanya saya berkongsi dengan pembaca tentang perintah-perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 hb Mei yang lalu. Mahkamah Tinggi ketika mana membenarkan permohonan Dato Seri Nizar Jamaluddin memerintahkan seperti berikut :-



a. Berkenaan tafsiran Fasal 16 ( 6 ) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahawa dalam keadaan di mana :

(i) Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(ii) tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

(iii) tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan; dan

(iv) tidak terdapat perletakan jawatan mentri besar Negeri Perak Darul Ridzuan;
Mahkamah mengisytiharkan jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ( yang dipegang secara sah oleh Nizar ) tidak boleh dan/atau tidak dikosongkan.

b. Perintah “quo warranto” dikeluarkan kepada Zambry ( Responden ) memerintahkan beliau untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa atau authoriti mana beliau berhak kononnya memegang jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan kononnya bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

c. Perintah deklarasi bahawa Zambry TIDAK BERHAK untuk dan/atau TIDAK MENJAWAT jawatan Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dan BUKANNYA Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan pada bila-bila masa yang material.

d. Perintah injunksi untuk menghalang Zambry dan/atau agen-agen beliau dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau ( seperti Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ) dari bertindak dan/atau menjalankan dan/atau melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab, fungsi-fungsi dan tugas-tugas Mentri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.
Itulah perintah-perintah yang Mahkamah Tinggi keluarkan pada 11 hb Mei yang lalu yang sekaligus menunjukkan secara jelas dan terang bahawa Dato Nizar ( bukannya Zambry ) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.

Pada asalnya selain daripada perintah-perintah tersebut , Nizar juga memohon perintah gantirugi . Namun di atas kesedaran bahawa wang bukanlah matlamat tindakan Mahkamah ini, maka Nizar telah menarik balik tuntutan gantirugi . Jika tidak ditarik terdapat kemungkinan besar Mahkamah Tinggi juga akan menganugerahkan gantirugi kepada Nizar yang mungkin jika ditaksirkan akan mencecah jumlah yang agak tinggi.

Nizar juga tidak memohon agar Zambry perlu membayar kos kepada beliau meskipun menjadi satu prinsip undang-undang pihak yang kalah seperti Zambry perlu membayar kos kepada pihak yang menang ( iaitu Nizar ). Jika Nizar tidak menarik balik perintah kos tersebut saya boleh bayangkan ratusan ribu ringgit yang mungkin Zambry perlu membayar kepada Nizar. Sekali lagi matlamat kewangan bukan faktor yang mendorong Nizar mencabar Zambry di Mahkamah.

Sekarang saya akan menjawab persoalan yang timbul di awal artikel ini. Permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ( stay of execution of judgment ) selalunya dipohon oleh pihak yang kalah dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Permohonan tersebut selalunya dibuat bagi mengekalkan status quo iaitu supaya pihak yang menang tidak boleh menikmati perintah yang diberikan oleh Mahkamah.

Dalam kes ini sebenarnya peguam Zambry telah pada 11 hb Mei memohon secara lisan perintah penggantungan pelaksaanaan tersebut di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah telah menolak permohonan Zambry tersebut.

Maka Zambry telah pada hari ini ( 12 Mei ) memohon perintah tersebut di Mahkamah Rayuan dan peguam Nizar telah membantah permohonan tersebut. Dari segi undang-undang prinsip yang terpakai bagi permohonan penggantungan pelaksanaan adalah pihak yang memohon tersebut perlu menunjukkan dan meyakinkan Mahkamah bahawa terdapat keadaan yang istimewa atau unik ( special circumstances ) yang menwajarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tidak boleh dinikmati oleh Nizar.

Dalam kes ini nampaknya Mahkamah Rayuan berpendapat wujudnya keadaan istimewa tersebut tetapi kita masih kabur apakah yang keadaan istimewa tersebut kerana saya difahamkan Mahkamah masih belum mengeluarkan alasan penghakiman ( dan mungkin tidak akan mengeluarkan alasan ).

Selalunya jika pun Mahkamah membenarkan perintah penggantungan pelaksanaan Mahkamah akan juga dalam masa yang sama mengenakan syarat-syarat tertentu. Peguam Nizar meminta Mahkamah mengenakan beberapa syarat kepada Zambry namun meskipun peguam Zambry iaitu Dato’ Cecil Abraham pada dasarnya bersetuju syarat dikenakan ke atas Zambry, Peguam Negara pula menentang syarat dikenakan ke atas Zambry.

Adalah jelas dan nyata sejak dari awal Peguam Negara iaitu Ghani Patail tidak pernah menunjukkan sikap neutral di dalam kes ini. Beliau sejak awal menunjukan sikap memihak kepada Zambry meskipun berselindung di sebalik topeng penjaga kepentingan awam. Sikap beliau dari awal menunjukkan beliau adalah penjaga kepentingan Umno.

Peguam Negara sejak awal bersungguh ingin mematikan kes Nizar. Beliaulah yang memohon merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan. Di Mahkamah Persekutuan beliau kalah dan kes Nizar masih hidup. Selepas itu beliau sekali lagi menentang bermati-matian agar Mahkamah tidak membenarkan Nizar meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan alasan kononnya Nizar mencabar kuasa Sultan Perak. Sekali lagi , Mahkamah tolak hujah beliau dan kes Nizar diteruskan.

Semasa kes Nizar berjalan, beliau sekali lagi berhujah dan memohon Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) Nizar. Sekali lagi Mahkamah Tinggi menolak bulat-bulat keseluruhan hujah beliau. Tiada satu pun hujah Peguam Negara yang diterima oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi.

Akhirnya saya ingin jelaskan di sini perintah penggantungan pelaksanaan BUKAN perintah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi . Keputusan Mahkamah Tinggi masih sah dan mengesahkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan Nazri adalah Menteri besar yang haram.

Oleh kerana menteri besar haram merayu mungkin Mahkamah rayuan berpendapat bagilah peluang menteri besar haram tersebut pegang jawatan tersebut sehingga rayuan beliau diputuskan sebab bukankah sejak dari awal beliau telah ketagih dan mabuk dengan kuasa sehingga sanggup membenarkan partinya merompak Kerajaan sah yang diterajui oleh Menteri Besar yang sah dan dipilih secara sah oleh rakyat Perak